Seringkali dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram
yang ditayangkan di television bahawa sebaik-baik jin adalah
sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah
dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia
seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem
seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di
dalam filem mereka.
Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan
perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam
jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata. Manusia tidak boleh
berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.
Firman Allah ;
يَا بَنِي آدَمَ لا
يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ
مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ
وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا
تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ
أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ
Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh
Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga,
sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan
kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan
dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.
Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi
orang-orang yang tidak beriman.
(Al-Araf :27)
Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam
jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin
perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak
berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut
dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.
Kenyataan yang terlalu umum "sebaik-baik jin
adalah sejahat-jahat manusia" ini secara tidak langsung akan
menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah SWT dan disebut kisah mereka
di dalam Al-Quran. Mereka ialah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab
menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai
tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (Al-Rahman [55:31-36]).
Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam Al-Quran
ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para
ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi Muhammad
SAW.
Sekiranya kenyataan "sebaik-baik jin adalah
sejahat-jahat manusia" ini terus dipegang, kita secara tidak
langsung akan menghukum para sahabat Nabi Muhammad SAW jauh lebih jahat
daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah
adil dan baik.
Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau
utusan pendakwah dalam kalangan mereka.
Firman Allah:
يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ
مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ
يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا
عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ
كَانُوا كَافِرِينَ
"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah
datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang
menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan
amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?")
(Al-An'am : 130)
Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia.
Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul
atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca
oleh Nabi Muhammad SAW(Tafsir al-Razi). Kisah mereka ini boleh didapati
di dalam Al-Quran.
Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah
memuji para sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap
Al-Quran. Baginda pernah membacakan surah Al-Rahman dari awal sehingga akhir
kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar
Al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama
para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah,
Al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (Al-Isabah fi Ma'rifat
aAl-Sahabah).
Mungkin ada segelintir pihak cuba mempertahankan kenyataan
meragukan tersebut dengan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan jin banyak
melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia. Banyak sekali hasutan dan
rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan
serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca daripada jin, bahkan ia juga berpunca
daripada kejahatan manusia.
Firman Allah SWT:
ظَهَرَ
الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ
بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ
بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ
يَرْجِعُونَ (٤١)قُلْ سِيرُوا
فِي الأرْضِ (٤٢)فَانْظُرُوا كَيْفَ
كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ
أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di
darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia,
(timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian
daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya
mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Katakanlah: "Mengembaralah
kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang
telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang
musyrik."
(Al-Rum : 41-42)
Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian sebegini terus berlaku


No comments:
Post a Comment