Dalam usaha mempertahankan tindakan-tindakan yang dianggap
bid‘ah di sisi syarak, sesetengah pihak menggunakan beberapa riwayat sebagai
bukti bahawa diharuskan membuat bid‘ah selagi mana ia dipandang baik oleh
pembuatnya. Antara yang masyhur ialah ucapan
Umar Ibn Khattab radhiallahu 'anh yang menyebut “sebaik-baik bid‘ah”
untuk Solat Terawih berjamaah dan perkataan “Sunnah Hasanah” dalam sebuah
hadith Rasulullah SAW.
Sesetengah pihak cuba berdalil dalam membolehkan bid‘ah
dengan menyatakan bahawa Saiyyidina ‘Umar radhiallahu 'anh turut telah membuat
bid‘ah. Mereka berkata, pada zaman Nabi SAW tidak ada Solat Terawih berjamaah
lalu ‘Umar melakukannya dan menyatakannya sebagai: “Sebaik-baik bid‘ah” (نعمت البدعة هذه).
Yang mereka maksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh Al-Imam
al-Bukhari dalam Shahihnya dan Al-Imam Malik dalam Al-Muwattha’:
عَنْ عَبْدِالرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ
أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْتُ مَعَ
عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِي
اللَّه عَنْهم لَيْلَةً فِي
رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ. فَإِذَا
النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ. فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي
أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ
عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ
أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ
عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ.
ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى
وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ. قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ
الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ
عَنْهَا أَفْضَلُ مِنِ الَّتِي يَقُومُونَ. يُرِيدُ
آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ
أَوَّلَهُ.
Daripada ‘Abd Al-Rahman bin ‘Abd Al-Qari, katanya : Pada
satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama dengan ‘Umar bin Al-Khattab
radhiallahu 'anh ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakkan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang
bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya.
Umar berkata: “Jika
aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau
melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab.
Kemudian aku keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam
mereka (Ubai bin Ka‘ab).
Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini,
sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka
bangun (awal malam).”
Berdasarkan riwayat di atas, ada yang tersalah sangka dengan
menganggap Umar bin Al-Khattab adalah
orang yang pertama memulakan Solat Terawih secara berjamaah. Maka dirumuskan
bahawa ia adalah satu perbuatan bid‘ah yang dianggap baik oleh Umar. Justeru
boleh membuat bid‘ah di dalam ibadah asalkan ia dilakukan dengan niat yang
baik.
Sebenarnya rumusan seperti ini muncul kerana kurang membaca
hadith-hadith Nabi SAW. Nabi SAW pernah melakukan Solat Terawih secara
berjamaah dan ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadith, seperti dalam Shahih Al-Bukhari
dan Shahih Muslim. Hadith yang dimaksudkan berasal daripada ‘Aisyah radhiallahu
'anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ
جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى
رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ
فَتَحَدَّثُوا. فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ
اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ
عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى
خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ
عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا
بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ
مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ
عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ .
Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda
solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda (menjadi
makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka
berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada malam kedua). Baginda bersolat dan
mereka ikut solat bersama. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita
mengenainya. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah SAW
keluar bersolat dan mereka ikut solat
bersama.
Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan
ahli. (Baginda tidak keluar) sehingga pada waktu solat subuh. Selesai solat
subuh, baginda mengadap orang ramai, seraya bersabda: “Sesungguhnya bukan aku
tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang
difardukan (Solat Terawih) ke atas kalian lalu kalian tidak mampu . Hal
sebegini berlaku sehingga Rasulullah SAW wafat. Wallahu a'lam.


No comments:
Post a Comment